Zamri dakwa projek lapangan terbang KXP masih kabur walau diumum ada pelabur

Zamri dakwa projek lapangan terbang KXP masih kabur walau diumum ada pelabur

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat hanya mahu menutup kelemahannya sendiri apabila terus memperkatakan isu projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Bekas Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Ir Zamri Yusuf berkata, beliau sendiri sedar bahawa projek berasaskan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) adalah di luar kemampuan Kerajaan Negeri pada ketika ini.

“PFI ini merupakan sesuatu yang besar dan dari segi pulangan baliknya adalah perlahan. Jadi ini isu yang susah orang hendak faham. Kalau beliau bercakap pada tahun pertama (mentadbir) mungkin orang akan memberikan peluang, beri masa.

“Tetapi ini sudah masuk ke tahun ketiga dan keempat masih belum lagi terlaksana, sudah luput tarikh untuk berbulan madu,” katanya.

Laporan sebelum ini memetik Sanusi sebagai berkata semua keperluan yang menjadi syarat untuk membangunkan projek KXP telah hampir dipenuhi dan pelabur baharu telah masuk untuk memulakan projek tersebut.

Namun menurut Zamri yang juga bekas wakil rakyat DUN Suka Menanti, Kerajaan Negeri sebelum ini pun sudah berkali-kali menukar pelabur kerana sebagai penyedia dana, mereka juga perlu melihat apa yang boleh diperolehi hasil daripada pelaksanaan projek KXP tersebut.

Dalam pada itu, Zamri tidak menolak projek berkenaan tidak berdaya maju memandangkan Kedah bukanlah negeri industri maju atau negara perniagaan entreport seperti Singapura untuk menyediakan satu lapangan terbang kargo sebagaimana konsep yang dinyatakan oleh pentadbiran Sanusi.