Zahid gesa Umno usul undi percaya pada Muhyiddin

Umno yang mempunyai bilangan wakil rakyat terbanyak di blok pemerintah menggesa kerajaan sendiri membawa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), berkata soal sokongan majoriti kepada pentadbiran Muhyiddin mesti dirungkai, dan Dewan Rakyat pentas terbaik untuk tentukan kestabilan politik.

“Sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya ianya hendak diuji di Dewan yang mulia ini. Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat, sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan.

“Biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021.

Gesaan ini mendapat sokongan Ahmad Maslan (BN-Pontian), yang berkata langkah ini akan memastikan tiada lagi keraguan terhadap sokongan kepada Muhyiddin.

Zahid membuat gesaan itu dalam penutup ucapannya yang menyentuh tentang kejujuran dalam kerjasama, menegaskan ia harus ditunjukkan melalui pelaksanaan.

“Jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait,” katanya.

Menyambung isu usul percaya, Zahid menambah proklamasi darurat bukan pilihan, “malah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja telahpun menolak”.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, ianya hendaklah dikembalikan kepada rakyat sesegera yang mungkin.”

Sumber: Free Malaysia Today