Yana Samsudin begang, gambar & nama disalah guna bakal kenakan tindakan saman?

Yana Samsudin begang, gambar & nama disalah guna bakal kenakan tindakan saman?

Pelakon Yana Samsudin meluahkan rasa terkilan apabila gambar dan namanya disalahguna oleh individu tidak bertanggungjawab bagi mempromosikan produk berupa makanan untuk menguruskan badan.

Menerusi video dimuat naik di laman Facebook, Yana meminta satu akaun Facebook terlibat untuk memadan dan tampil membuat permohonan maaf sebelum dia mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.

“Boleh saman orang ini sebenarnya. Sebelum saya buat tindakan seterusnya, padan dan buat permohonan maaf. Jangan sampai ‘Kak Yong’ datang,”tegas pelakon berusia 38 tahun itu.

Yana berkata, ada pihak menyamar sebagai dirinya dan membuat akaun palsu di Facebook seolah-olah individu berkenaan adalah Yana Samsudin sebenar.

Malah, mereka juga bertindak menipu pelanggan di luar sana terutama peminat aktres ini dengan menjual produk yang boleh dikatakan mampu menguruskan badan.

Tambah Yana, gambarnya digunakan oleh pemilik akaun berkenaan sebelum disunting supaya kelihatan seperti sedang memegang produk mereka.

“Ini semua tak benar, tak betul dan saya tak pernah pegang. Ini kali pertama saya tengok produk itu. Ini gambar sebenar yang sudah disunting,”

Seloroh Yana, suntingan yang dibuat oleh individu berkenaan tidak secantik hasil suntingan suaminya, Fadzil Zahari yang sememangnya cukup dekat di hati netizen dengan hasil selitan ‘editing’ mantap di media sosial.

“Memang kartunlah suntingan dia. Suami saya sunting lagi cantik. Sebenarnya, saya pegang kerepek.
“Ini pula gambar terbaharu saya, pun dia letak. Ini, saya sedang makan lontong ya kawan-kawan,” katanya.

Tegas Yana, dia berharap agar pihak berkenaan tidak sewenang-wenangnya menggunakan gambar selebriti atas tujuan melariskan sesuatu produk.

“Janganlah tipu orang, menggunakan gambar selebriti. Lagi pula, kita pun tak tahu, produk dia halal ke tidak, ada (kelulusan) KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) atau tidak, entah ada produk racun berjadual atau tidak.
“Entah ada babi,” katanya.

Sumber: Facebook Yana Samsudin