WHO mohon Ukraine musnahkan makmal patogen

WHO mohon Ukraine musnahkan makmal patogen

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihati Ukraine supaya memusnahkan patogen atau  berisiko tinggi menjangkiti manusia yang disimpan di makmal-makmal  kesihatan awam negara itu, lapor laman berita Wionews kelmarin.

Saranan WHO itu bagi mencegah sebarang risiko tumpahan yang akan menyebarkan penyakit dalam kalangan penduduk tempatan.

Pakar-pakar  biosekuriti WHO berkata, kemaraan tentera Rusia di Ukraine dan pengeboman bandar-bandarnya telah meningkatkan risiko pembebasan patogen penyebab penyakit, sekiranya makmal kesihatan tersebut rosak.

Seperti kebanyakan negara lain, Ukraine mempunyai makmal kesihatan awam yang mengkaji kaedah mengurangkan ancaman penyakit berbahaya daripada virus dan bakteria  yang menjejaskan haiwan serta manusia termasuk kuman Covid-19.

Makmal-makmal kajian patogen di Ukraine  mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan WHO.

Dalam pada itu, WHO turut memberitahu bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan makmal kesihatan awam Ukraine selama beberapa tahun untuk mempromosikan amalan keselamatan yang membantu mencegah pelepasan patogen secara tidak sengaja atau sengaja.

“WHO telah mengesyorkan dengan tegas kepada Kementerian Kesihatan Ukraine dan badan bertanggungjawab lain untuk memusnahkan patogen berisiko tinggi bagi mengelak sebarang risiko  tumpahan dan sebaran,” demikian menurut kenyataan WHO.

Bagaimanapun, WHO tidak menyatakan tempoh khusus untuk Ukraine berbuat demikian dan tidak memberikan butiran lanjut tentang jenis patogen atau toksin yang ditempatkan di makmal-makmal negara itu.

Agensi itu juga tidak menyatakan sama ada cadangannya akan dipatuhi oleh Ukraine.

Pegawai Ukraine di Kyiv dan di kedutaan mereka di Washington juga menolak untuk membuat sebarang komen berhubung usul WHO.

Keupayaan makmal Ukraine untuk bertahan berada ketika perang berlaku semakin tipis sejak Rusia mula menceroboh jirannya itu dua minggu lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova mengulangi dakwaan  bahawa AS mengendalikan makmal senjata  biologi di Ukraine.

Zakharova berkata bahawa dokumen yang digali oleh tentera Rusia di Ukraine menunjukkan percubaan kecemasan untuk memadam bukti program biologi ketenteraan dengan memusnahkan sampel makmal.

Sebagai tindak balas, Jurucakap Presiden Ukraine menafikan sebarang kewujudan makmal sedemikian di negaranya.

“Ukraine menafikan dengan tegas sebarang dakwaan sedemikian,” kata jurucakap itu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang kelmarin  atas permintaan Rusia untuk membincangkan dakwaan Moscow mengenai aktiviti biologi AS di Ukraine. – Agensi