WHAT | Dayang Nurfaizah diejek suara macam itik?

Baru-baru ini, penyanyi Dayang Nurfaizah berkongsi cerita ketika zaman kecilnya bahawa dia sememangnya suka menyanyi.

Menyifatkan dirinya seorang yang pendiam sebelum bergelar penyanyi, penyanyi berasal dari Sarawak itu berkata dia pernah diejek suara macam itik ketika kecil sehingga hilang keyakinan diri.

 

“Sebenarnya pendiam sangat-sangat memang tak nak bercakap, pemalu sebab dulu masa Dayang kecil-kecil suara Dayang macam serak-serak macam tu…

“Jadi orang tua-tua dulu suka cakap kat Dayang ni macam suara itik bercakap. Bila kenang balik Dayang rasa sedih sangat sampai rasa tak nak bercakap jadi kita punya keyakinan dalam diri tu tak ada.

“Masa kecil-kecil dulu memang suka menyanyi tapi tak tahu yang Dayang ni pandai menyanyi ke tak dulu. Tapi saya memang suka menyanyi,” katanya.

Mengimbau kembali kisah dahulu, Dayang berkata kali pertama dia menyertai pertandingan nyanyian ketika usianya 12 tahun.

“Walaupun Dayang pemalu, tapi bila naik atas pentas tu Dayang rasa seronok.

“Pertama kali Dayang masuk pertandingan masa umur 12 tahun walaupun kena paksa pada mulanya sebab Allahyarhamah Mak Kiah, jiran Dayang yang masukkan nama Dayang dalam pertandingan itu,” katanya.

Ujarnya lagi, lagu patriotik Bahtera Merdeka dan Lagu Untukmu nyanyian Hasnol merupakan lagu pertama yang didendangkannya dalam pertandingan tersebut. – RTKY