Warga emas cedera ditetak jiran tidak puas hati laluan koridor

Warga emas cedera ditetak jiran tidak puas hati laluan koridor

 

 

 

 

 

 

 

 

Hanya kerana tidak berpuas hati berkaitan laluan koridor menyebabkan seorang lelaki tergamak menyerang dan menetak jirannya dengan pisau pemotong sayur di kediaman pangsapuri di Kampung Baru Ampang semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lelaki berusia 64 tahun ketika tiba di rumahnya didatangi suspek berusia 38 tahun dengan memegang sebilah pisau lalu suspek terus menetak dan terkena topi keledar yang dipakai mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek juga terus menolak mangsa sehingga jatuh dan terus menetak tangan kiri jirannya itu dengan pisau.

“Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian lengan sebelah kiri dan sakit di semua badan sebelum mendapat rawatan di Hospital Ampang.

“Susulan itu pada jam 5.45 petang, pasukan polis menahan suspek yang bekerja kontraktor di Kampung Baru Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, punca pergaduhan adalah disebabkan isu laluan koridor depan rumah.

“Suspek tidak suka mangsa lalu di depannya ketika suspek duduk di koridor hadapan rumah jirannya itu.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau dadah.

“Suspek akan ditahan reman hari ini di Mahkamah Ampang,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas sebilah pisau pemotong sayur dan sepasang pakaian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika disabitkan dengan kesalahan.

“Pihak polis ingin memberi nasihat kepada penduduk supaya isu kejiranan perlu diselesaikan secara berhemah dan perlu bersikap timbang rasa, bertolak ansur serta saling hormat menghormati,” katanya.