Warga emas 83 tahun hidap Alzheimer pandu lawan arus disaman

Warga emas 83 tahun hidap Alzheimer pandu lawan arus disaman

Lelaki warga emas yang mempunyai penyakit Alzheimer disaman kerana memandu secara melawan arus di Kilometer 211 Lebuhraya Persisian Pantai Barat (WCE) berhampiran susur keluar Sitiawan Selatan dekat sini, kelmarin.

Ketika kejadian, warga emas itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bharu, Ayer Tawar.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, terdahulu video memaparkan kejadian itu tular di media sosial, kelmarin.

Menurutnya, lelaki berusia 83 tahun itu dikesan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung, semalam, sebelum dikenakan tindakan saman atas kesalahannya itu.

“Tindakan saman sudah diambil atas kesalahan memandu melawan arus mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal juga mendapati pemilik kenderaan itu mengalami penyakit Alzheimer dan simptom nyanyuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.