Warga asing menyamar jadi polis dicekup polis

Cubaan seorang lelaki warga asing menyamar polis dan ingin menyamun pencuci kereta di Taman Lembah Maju, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, lelaki pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berusia 25 tahun berjalan ke pasar malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, dia bersama rakannya kemudian ditahan lelaki berusia 26 tahun yang juga pemegang kad UNHCR menunggang Modenas Kriss.

Menurutnya, suspek mengaku polis dan meminta pengadu memberikan kad UNHCR malah suspek juga mahu periksa beg mangsa.

“Mangsa yang mengesyaki sesuatu yang tidak kena terus melarikan diri ke arah polis yang berada di kawasan berhampiran.

“Susulan itu, pada jam 11.35 malam, sepasukan anggota polis dari Pandan Indah berjaya membuat tangkapan suspek di kawasan Taman Lembah Maju Food Court,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan reman sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – HM