Wanita warga Indonesia disamun, dirogol 2 lelaki menyamar pegawai Imigresen

Wanita warga Indonesia disamun, dirogol 2 lelaki menyamar pegawai Imigresen

Kes orang menyamar jadi penguatkuasa ni bukanlah kes yang baru dekat sini. Biasanya cara ini digunakan untuk membuat peras ugut.

Baru-baru ini, dua orang wanita warga Indonesia turut ditimpa nasib yang sama. Lebih malang lagi, selain disamun salah seorang dari mereka turut dirogol.

Menurut laporan dari Harian Metro, kejadian yang berlaku pada pukul 6.50 pagi ini telah melibatkan dua mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Pandan Indah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa telah membuat laporan mendakwa dia dan rakannya telah didatangi oleh dua lelaki menaiki kereta mengaku sebagai pegawai imigresen.

Suspek memberitahu mahu membuat pemeriksaan pasport dan permit kerja lalu meminta mangsa serta rakannya menaiki kereta.

“Ketika dalam perjalanan, suspek mengambil barang kemas dan wang tunai milik mangsa. Mangsa dibawa ke kawasan Serdang dan ditinggalkan di tepi jalan manakala rakannya dibawa ke sebuah hotel di Balakong sebelum dirogol.

“Mangsa tampil membuat laporan polis dan rakannya yang dirogol turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.”

1882875

Sumber: Sinar Harian

Berdasarkan laporan yang dibuat, pihak polis berjaya mengesan dan menahan dua suspek ini di sebuah rumah di Jasin, Melaka.

Pihak polis juga turut merampas wang tunai, barang kemas, kenderaan dan pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian ketika serbuan dibuat pada jam 3 pagi.

 

Semakan mendapati suspek pertama berusia 40 tahun mempunyai 18 rekod jenayah lampau termasuk tiga rekod dikehendaki bagi kes dadah manakala suspek kedua mempunyai 13 rekod lampau termasuk satu dikehendaki.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman dan siasatan lanjut.”

Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 kanun yang sama.