Wanita hilang disambar buaya ketika memancing

Wanita hilang disambar buaya ketika memancing

 

 

Seorang wanita dilaporkan hilang selepas disambar buaya dalam satu kejadian di Kampung Tanjung Bulat, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang, mangsa Norsila Sayong, 32, dilaporkan memancing di tebing air sebelum tiba-tiba disambar reptilia berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 3.42 petang.

Menurutnya, sejurus itu lima anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sebelum kejadian, mangsa sedang memancing di tebing anak sungai yang bersambung dengan Sungai Kinabatangan.

“Lokasi itu memang menjadi lokasi memancing penduduk ketika air sungai pasang.

“Tiba-tiba mangsa dilaporkan disambar lalu dibawa ke dalam dan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azlan berkata, SAR kemudiannya dijalankan dan sebarang perkembangan semasa akan dimaklumkan.