Wanita diugut, dipukul suami & bapa mentua sebab minta hantar balik rumah keluarga

Wanita diugut, dipukul suami & bapa mentua sebab minta hantar balik rumah keluarga

Seorang wanita berusia 30 tahun melalui detik hitam apabila dirinya dipukul serta diugut oleh suami dan bapa mentua gara-gara disebabkan perselisihan faham dalam keluarga mereka di Taman Medan, Petaling Jaya.

Sebab minta untuk hantar pulang ke rumah keluarga

Sekadar gambar hiasan

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, Perselisihan tersebut berlaku apabila wanita berkenaan meminta suami menghantar pulang ke rumah keluarganya pada 3 Julai lalu.

Akibat daripada itu, wanita berkenaan bertindak untuk melarikan diri ke sebuah rumah kedai yang pintu tangganya tidak berkunci pada ketika itu di Jalan PJS 5/28a.

Apabila sampai di tingkat dua mangsa terus masuk ke dalam sebuah bilik yang tiada penghuni dan menyorok di bawah meja.

Kemudian, mangsa dikatakan terdengar suara bapa mentuanya memberi salam dan bertanya sama ada penghuni di rumah itu melihatnya  masuk ke dalam rumah berkenaan ataupun tidak. Namun, penghuni tersebut mengatakan bahawa dia tidak tahu.

Ugut untuk mencederakan mangsa

Sekadar gambar hiasan

Jelasnya lagi, bapa mentua wanita berkenaan telah masuk ke dalam rumah itu untuk mencarinya sebelum dia ternampak mangsa sedang menyorok di bawah meja. Lelaki berkenaan turut mengugut untuk mencederakannya jika mangsa tidak mahu keluar dari rumah itu.

Apabila mangsa keluar bapa mentua terus menghubungi suaminya dan sebaik lelaki itu tiba dia terus memukul bahu kanan isterinya dengan sebatang kayu.

Setelah itu, mereka membawa mangsa untuk pulang ke rumah dan keesokan harinya menghantarnya ke rumah keluarga. Walau bagaimanapun, mangsa dikatakan telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan. Bapa mentua dan suaminya berjaya ditangkap pada Isnin lalu bagi membantu siasatan.

Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sumber : Harian Metro