Wanita dikelar leher akibat tolak cinta rakan kolej

Wanita dikelar leher akibat tolak cinta rakan kolej

Enggan terima kenyataan cintanya ditolak, seorang lelaki bertindak kejam dengan mengelar leher rakan wanita yang juga merupakan rakan kolejnya.

Kelar leher mangsa sebab cinta ditolak

Memetik laporan Indian Express, insiden ngeri yang berlaku di Surat, India itu terjadi selepas suspek yang dikenali dengan nama Fenil Goyani meluahkan perasaannya setelah sekian lama disembunyikan. Namun siapa sangka, wanita itu, Grishma Vekariya menolak cinta tersebut sehingga membuatkan suspek hilang kawalan dan menjadikan mangsa sebagai ‘tebusan’ sebelum membunuhnya.

Walaupun sudah dipujuk berkali-kali untuk melepaskannya namun suspek nekad dan terus mengelar leher mangsa sambil disaksikan orang ramai. Suspek kemudian cuba untuk membunuh diri dengan meminum racun dan mengelar pergelangan tangan namun percubaannya itu gagal. Menurut sumber, pihak polis berjaya menahan suspek yang berusia 20 tahun itu sementara mangsa berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

Polis terima rakaman audio

Menerusi sumber lain, pihak polis memaklumkan mereka telah menerima satu rakaman audio di mana suspek memberitahu salah seorang rakannya mengenai rancangannya untuk membunuh mangsa kemudian membunuh dirinya. Berdasarkan rakaman itu juga, suspek mendakwa pernah dipukul oleh ahli keluarga mangsa.

Lima atau enam orang ahli keluarga gadis itu datang ke rumah saya menaiki kereta dan menampar saya. Ayah saya dipukul di lengannya sehingga berdarah ketika dia cuba masuk campur.

Suspek juga mendakwa sudah berhenti menghantar mesej kepada mangsa tetapi bapa saudara gadis itu tetap mengugutnya. Menurut sumber, rakan suspek sudah cuba menenangkan suspek dan namun dia tetap nekad mahu membunuh gadis itu. Menurut pihak polis, suspek turut mendakwa bahawa mangsa mempunyai kata laluan akaun media sosialnya jadi kemungkinan mangsa sendiri telah menghantar mesej dan tangkapan skrin kepada keluarganya.