Wanita didakwa bakar rumah sendiri, “Sempat tarik kerusi untuk menyaksikannya”

Wanita didakwa bakar rumah sendiri, “Sempat tarik kerusi untuk menyaksikannya”

Seorang wanita ditahan selepas didakwa membakar rumahnya yang masih terdapat orang didalamnya sebelum menontonnya rumahnya dijilat api dari luar rumah, lapor Daily Star.

Tindakan wanita tersebut yang duduk di kerusi dengan sebuah buku di pangkuannya ketika rumah itu terbakar pada Khamis telah terakam oleh kamera jirannya.

Wanita tersebut telah ditahan atas dakwaan cubaan membunuh selepas terdapat individu yang terperangkap di dalam rumah berkenaan semasa kebakaran itu.

Wanita yang berusia 47 tahun itu dilaporkan menonton rumahnya yang terletak di Elkton, Maryland musnah dijilat api.

Pasukan bomba dilaporkan tiba di tempat kejadian kira-kira 1.15pm waktu tempatan.

Suspek didakwa telah menyalakan api di dalam rumah tersebut sebelum berjalan ke luar dan memerhatikan ‘kerjanya’ sambil duduk di atas kerusi di halaman rumahnya.

Seorang lelaki yang merakam kejadian itu terdengar sedang menjerit: “Dia baru sahaja membakar tong sampah itu!”

“Ya Tuhan, ini tidak berlaku sekarang! Dia bakar rumah itu! Ya Tuhan! Susah untuk saya mempercayainya, dan dia hanya duduk bersantai melihat rumah terbakar!”

Dia dilihat memakai singlet putih dan topi sambil duduk di atas sebuah kerusi dengan buku di pangkuannya.

Dalam beberapa saat, api mula marak dan telah mengeluarkan asap hitam yang tebal ke udara.

Seorang wanita kemudiannya dilaporkan menjerit dari ruang bawah tanah ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian.

Orang ramai yang berdekatan terus bergegas membantunya dan membawanya keluar dari tingkap rumah yang sedang terbakar itu.

Dia dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu, dan wanita yang menyebabkan kebakaran tersebut didakwa telah lari meninggalkan tempat kejadian.

Wanita tersebut kemudiannya ditahan oleh pihak polis tidak jauh dari tempat kejadian.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa dia tinggal di rumah itu bersama tiga yang lain, dengan dua penghuni yang lain dilaporkan tidak ada di rumah tersebut ketika kebakaran itu bermula.

Motif kebakaran masih belum dapat dijelaskan oleh pihak polis.

Wanita tersebut telah didakwa atas dakwaan cubaan membunuh tahap pertama dan kedua, pembakaran peringkat pertama, dan serangan tahap pertama. Dia juga turut dituduh dengan dua tuduhan membakar secara berbahaya, dua tuduhan membabitkan kemusnahan harta benda, dan dua tuduhan membahayakan.

Dia dilaporkan masih dalam tahanan di Cecil County Detention Centre dan masih menunggu untuk perbicaraannya.

Sumber: Daily Star