Wanita cedera kedai dirompak, dibakar

Wanita cedera kedai dirompak, dibakar

 

Wanita warga Indonesia berusia 40 tahun cedera di kepala dan muka selepas diserang perompak dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Felda Tersang 01, kira kira jam 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, dalam kejadian itu perompak juga dilaporkan membakar rumah kedai itu.

Menurutnya, anggota bertugas di Balai Polis Cheroh menerima panggilan daripada orang awam mengatakan kebakaran berlaku di kedai runcit di Felda Tersang 01.

“Kita (polis) juga dimaklumkan terdapat seorang wanita meminta bantuan kerana mengalami kecederaan di kepala dan muka,” katanya pihaknya tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

Kama Azural berkata, siasatan awal mendapati, wanita yang mengalami kecederaan itu adalah pembantu kedai runcit berkenaan.

“Mangsa mendakwa antara jam 1 hingga 2 pagi, seorang lelaki bertopeng memanjat bumbung dan masuk ke dalam kedai. Suspek bersenjatakan besi menyerang mangsa menyebabkannya cedera di kepala dan muka.

“Tangan mangsa kemudian diikat menggunakan pita pelekat sebelum suspek merampas barangan berharga dalam premis itu. Dia (suspek) membakar premis itu sebelum melarikan diri,” katanya.

Katanya, mangsa yang berjaya meloloskan diri segera mendapatkan bantuan daripada orang awam di kawasan berhampiran dan menghubungi pihak berkuasa.

Tambahnya, perompak berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM1,700 yang berada di kaunter kedai dan dua utas gelang emas milik wanita terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394/435 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.