Walau tak puas hati dengan Muhyiddin, BN akan sokong bajet

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli parlimen BN berjanji untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pentadbiran Muhyiddin Yassin pada Jumaat ini.

“Ahli-ahli parlimen Barisan Nasional yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan ahli Dewan Rakyat seramai 43 orang yang bermesyuarat pada 3hb November 2020 telah bersetuju sebulat suara akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6hb November 2020, begitu juga dengan semua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentangkan oleh pihak kerajaan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

MP BN juga menggesa kerajaan menyambung moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan lagi atau sebahagian daripadanya untuk mereka yang berkelayakan di bawah kumpulan B40 dan M40, katanya.

“Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional juga bersetuju supaya Yang Amat Berhormat Tan Sri mempertimbangkan; meluluskan untuk pengeluaran sejumlah wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang layak dan memenuhi syarat tententu,” kata Zahid.

Awal hari ini, Muhyiddin berkata kerajaan akan mengkaji cadangan untuk membenarkan pengeluaran dana KWSP serta kaedah untuk mempermudah proses bagi mereka yang memerlukan sokongan.

Belanjawan yang akan datang dilihat sebagai undi keyakinan untuk kepemimpinan Muhyiddin selepas rampasan kuasa politik kontroversi pada bulan Februari.

Sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung menyaksikan 27 usul keyakinan dengan dua usul menyokong kepemimpinan Muhyiddin manakala 25 lagi usul menentang perdana menteri.

BN, khususnya Umno, yang renggang hubungannya dengan Bersatu dan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, pernah mengancam untuk menarik sokongannya terhadap gabungan parti pemerintah itu.

Bagaimanapun, Umno menegaskan kembali sokongannya kepada PN tetapi menuntut kerjasama yang lebih baik berdasarkan rasa hormat dan muafakat politik.

Sumber: Malaysiakini