Wafariena alami kecederaan dipaksa buat ‘stunt’, terkilan pengarah lepas tangan
Pelakon Wafariena Roslan meluahkan rasa terkilan apabila pengarah tidak bertanya khabar mengenai dirinya terlantar sakit selepas mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran.
Difahamkan, pelakon berusia 26 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital perubatan di Rawang, Selangor selepas mengalami kecederaan selepas melakukan babak aksi penggambaran telemovie berjudul Mata Tak Berhijab.
Mengulas lanjut, Wafariena atau mesra disapa Wafa berkata badannya mula berasa sakit selepas diminta melakukan babak aksi sekitar pukul 3 pagi di sebuah kawasan hutan terletak di Lenggong, Perak.
Pada asalnya, babak tersebut dilakukan oleh pelakon ngeri, namun entah bagaimana pengarah meminta Wafa melakukannya sendiri. Sebaik sahaja dia menjayakan babak berkenaan, badannya rasa sakit dan lemah sehingga tak boleh bergerak.
“Sekitar pukul 6 pagi, saya pergi ke klinik berhampiran dan doktor berikan suntikan ubat tahan sakit.
“Namun, disebabkan keadaan saya sakit teruk, doktor minta saya melakukan pemeriksaan di hospital,”ujar pelakon drama 7 Hari Mencintaiku.
Apa yang membuatkan dia terkilan adalah pengarah berkenaan langsung tidak bertanya khabar mengenai perkembangan kesihatannya. Ia seolah-olah pengarah tersebut ‘lepas tangan’ dan tidak mengambil peduli tentang kesakitan yang dialaminya kini.
“Selepas kejadian itu, pengarah langsung tak bertanya saya okey atau tidak. Dia seolah-olah lepas tangan. Itu yang membuatkan saya terkilan.
“Saya terpaksa dipapah ketika kejadian kerana tidak boleh bergerak. Punca jadi begini pun sebab dia paksa saya lakukan aksi stunt sendiri,”ujarnya lagi.
Sementara itu, Wafariena kini sedang menunggu keputusan pemeriksaan lanjut pihak hospital sebelum menerima rawatan selanjutnya.
Sumber: mStar (Farol Hadi), Instagram @wafarienaroslan