Viral video ‘Black Democracy’ ajak berkumpul, polis beri amaran

Viral video ‘Black Democracy’ ajak berkumpul, polis beri amaran

Baru-baru ini, viral satu video dipercayai mengajak orang ramai untuk berkumpul di beberapa lokasi pada Rabu ini. Susulan daripada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran serta akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menganjur atau terlibat dalam perhimpunan berkenaan.

Viral video ajak berkumpul

Foto: Tangkap layar video

Video yang berdurasi dua minit 40 saat itu memaparkan seorang individu dikenali sebagai ‘Anonymous’ yang memakai topeng muka sambil mengajak orang ramai untuk melaksanakan operasi yang dinamakan sebagai ‘Black Democracy’ dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Individu terbabit dikatakan mengajak orang ramai untuk berhimpun dengan berpakaian warna hitam di beberapa lokasi pada pukul 12 tengah hari sebagai bantahan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh kerajaan.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih lagi berkuat kuasa dan orang awam perlu mematuhi SOP berkenaan.

Polis akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ke atas mana-mana pihak yang dikesan melanggar SOP dengan menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jangan sebarkan perkara yang boleh cetuskan pelanggaran SOP

Sekadar gambar hiasan

Jelasnya lagi, dia menasihatkan agar orang ramai tidak menyebarkan apa-apa bahan yang boleh mencetuskan orang ramai terikut untuk melanggar SOP MKN sehingga menyebabkan kes penularan COVID-19 semakin meningkat.

Pihak PDRM juga menyeru orang ramai agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan bersama memainkan peranan dalam mengurangkan penularan wabak COVID-19 di negara kita.

Sumber Kosmo