[Video] Zamani sudah dibenarkan keluar hospital, badan sudah tak ‘bongkok’ lagi

[Video] Zamani sudah dibenarkan keluar hospital, badan sudah tak ‘bongkok’ lagi

Selepas menjalani pembedahan untuk membetulkan tulang belakang melengkung disebabkan penyakit scoliosis pada Isnin lalu, penyanyi terkenal, Zamani dimaklumkan telah dibenarkan pulang ke rumah pada hari ini.

Kesihatan bertambah baik

Menerusi laporan dari Utusan Malaysia, isteri kepada vokalis kumpulan Slam, Juliana Abd Rani memberitahu kesihatan suaminya bertambah baik.

Alhamdulillah, Zamani telah dibenarkan keluar hospital, petang ini. Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor yang merawat, pasukan yang bertungkus lumus melakukan operasi pembedahan dan semua kakitangan Pusat Perubatan Sunway Velocity,” ujarnya.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan

Dia juga sempat merakamkan ribuan terima kasih kepada semua yang mendoakan termasuklah pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi.

“Terima kasih kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang dia menjalani pembedahan sehingga ke hari ini.
“Kami juga berterima kasih tidak terhingga kepada Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi), peminat, media dan mereka yang menyumbang dana untuk pembedahan Zamani. Segala budi baik dan doa semua amat kami hargai sehingga akhir hayat,” katanya.

Sebelum ini, Juliana ada memaklumkan yang keadaan Zamani dalam keadaan baik selepas 48 jam menjalani pembedahan dan sedang mendapat pemantauan daripada pihak hospital.

Penyanyi lagu Syair Si Pari-pari itu juga diminta untuk berehat lebih lama bagi memastikan keadaan kesihatannya pulih dan dapat berjalan dengan baik selepas melalui pembedahan selama 7 jam pada Isnin lalu.

 

Sumber: Utusan Malaysia(Siti Athirah Dzulkifli), Instagram mrsj_zamani