Pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) Safawi Rasid dan pempengaruh, Syifa Melvin akhirnya selamat bergelar pasangan suami isteri dengan hanya sekali lafaz pada majlis tertutup yang diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada malam Isnin.
Pasangan ini juga telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Khairil Nizam yang berwakil walikan bapanya, Amirul Melvin Abdullah.
Namun, apa yang mencuri perhatian adalah menerusi perkongsian di TikTok, seorang pengguna memuat naik rakaman yang memaparkan Syifa dan Safawi ditanya adakah mereka sudi menerima pasangan masing-masing sebelum Khairil Nizam sempat berseloroh untuk menggantikan tempat Safawi.
“Muhammad Safawi Bin Rasid dan juga Nur Syifa Athirah Binti Amirul Melvin adakah kedua-duanya bersetuju dengan perkahwinan pada hari ini?
“Nur Syifa Athirah Binti Amirul Melvin adakah bersetuju berkahwin dengan Muhammad Safawi Bin Rasid? Betul ye, sungguh…Alhamdulillah. Memang pilih dia ye? Tak nak tukar dengan saya…” katanya.
Bagaimanapun, Khairil menjelaskan itu hanyalah sekadar gurauan bagi menghilangkan rasa gemuruh pengantin lelaki sebelum majlis akad nikah dilaksanakan
Sehingga kini perkongsian tersebut telahpun mencecah lebih 2 juta tontonan, 171,000 tanda suka dan lebih 800 komen diterima sejak ia dimuat naik.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat menitipkan ucapan tahniah buat kedua mempelai malah tidak kurang juga yang terhibur melihat aksi tok kadi menyakat pengantin.