[Video] Polis buru peragut

[Video] Polis buru peragut

Polis giat memburu seorang lelaki yang meragut rantai emas di Setapak Jaya, di sini, sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 25 saat pada 11.50 pagi semalam dimuat naik pemilik akaun Twitter berkaitan kejadian itu.

“Mangsa sudah membuat laporan polis 20 September lalu. Ketika kejadian, mangsa berhenti di tepi jalan membeli makanan di Setapak Jaya sebelum suspek lelaki datang dari arah hadapan menaiki motosikal Yamaha 135LC warna biru hitam meragut rantai emas milik mangsa.

“Suspek ketika kejadian memakai topi keledar warna merah dan kemeja T berlengan panjang berwarna gelap,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun tanpa senjata api.

“Polis masih meneruskan siasatan dalam usaha mengesan suspek,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama mana-mana saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.