[VIDEO] Mangsa ‘faceshaming’: Apa dosa aku?

[VIDEO] Mangsa ‘faceshaming’: Apa dosa aku?

“Saya boleh bersabar lagi jika mereka (warganet) mengecam fizikal saya tetapi jadi sedih dan marah apabila ada yang mengaitkan keluarga kerana ayah saya sudah lama meninggal dunia,” kata mangsa ‘faceshaming’, Nurul Janatul Sobah Rajaai.

Nurul Janatul, 21, yang menetap di Bagan Datoh, Perak menerima kecaman hebat warganet berhubung paras rupanya ketika bersiaran langsung di TikTok, tengah hari kelmarin.

Bercerita lanjut, Nurul Janatul berkata, insiden itu berlaku ketika dia berkongsi teknik solekan wajah dengan pengikutnya di aplikasi berkenaan.

“Seperti biasa, saya akan bersembang sementara menunggu lebih ramai pengikut menyertai siaran langsung diadakan.

“Namun, sebelum bermula lagi sesi tutorial sudah ada yang mengecam dan menyamakan wajah saya dengan khinzir dan sampah.

“Ada juga yang meminta saya menamatkan siaran langsung dan menutup akaun TikTok tetapi paling terkesan apabila seorang warganet mempersoalkan ibu ayah saya tidak mengajar saya.

“Biarpun dikecam, saya teruskan tutorial dan membersihkan solekan selepas itu sebelum menghentikan siaran langsung selepas sejam.

“Tindakan itu bukan kerana sentap seperti diperkatakan mereka (warganet) tetapi geram apabila ada yang sanggup menghina hingga mempermainkan keluarga saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nurul Janatul, dia tidak tahu kisahnya itu tular sehingga menerima kiriman mesej daripada seorang pengikutnya di Instagram (IG).

Nurul Janatul berkata, pada mulanya dia memang berhasrat membuat laporan polis susulan apa yang berlaku.

 

Nurul Janatul yang dikecam ketika bersiaran langsung di TikTok. FOTO ihsan pembaca
Nurul Janatul yang dikecam ketika bersiaran langsung di TikTok. FOTO ihsan pembaca

 

“Saya dan keluarga ada memeriksa akaun individu terbabit juga sudah dinyahaktif. Malah, keluarga nasihatkan untuk tidak memanjangkan isu berkenaan lagipun individu terbabit masih bersekolah jadi tidak mahu dia diambil tindakan,” katanya.

Nurul Janatul berkata, dia bukan peniaga alat solek sebaliknya meminati bidang solekan sejak berusia 18 tahun dan ada kalanya membuat ulasan mengenai produk digunakannnya.

“Saya membuka akaun TikTok sejak tiga tahun lalu dan aktif memuat naik pelbagai video secara rakaman serta siaran langsung yang lazimnya berkaitan hobi saya iaitu solekan.

“Memang saya ada menerima komen negatif sebelum ini namun kelmarin adalah yang paling teruk,” katanya.

Nurul Janatul berharap, sikap menghina paras rupa dan bentuk badan seseorang dihentikan dalam kalangan masyarakat.

“Mudah saja, jika sesuatu perkongsian video dan sebagainya tidak kena dengan citarasa anda, abaikan serta jangan tonton.

“Adab kena jaga, kita perlu hormat orang dan jangan sentuh peribadi terutama hal berkaitan keluarga.

“Saya terima apa yang berlaku ini sebagai ujian dan terima kasih kepada semua yang memberi kata semangat termasuk daripada penyanyi Yuna dan Aizat Amdan menerusi ciapan mereka di Twitter,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/661819/apa-dosa-aku-metrotv

COMMENTS