Video hisap dadah tular di facebook, polis tahan lelaki di Chenderong Balai

Video hisap dadah tular di facebook, polis tahan lelaki di Chenderong Balai

 

 

 

Penagih dadah yang videonya dipercayai menghisap barang terlarang itu tular di Facebook sejak beberapa hari lalu ditahan polis di sebuah rumah di Chenderong Balai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada 5 petang.

Katanya, pihaknya turut merampas empat plastik lutsinar berisi dadah dipercayai heroin seberat 27.75 gram bernilai RM832.50 dijumpai dalam beg sandang suspek.

“Penahanan itu dibuat susulan video tular aktiviti menghisap dadah oleh seorang lelaki di laman Facebook. Suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Apoi’ di kawasan Pekan Langkap.

“Usaha mengesan pengedar berkenaan sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Adnan berkata, ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif morpin dan semakan turut mendapati lelaki itu mempunyai 16 rekod kesalahan lampau.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Terdahulu satu rakaman video tular di Facebook memaparkan seorang lelaki dipercayai sedang menghisap dadah yang dirakam seorang individu.

Hantaran yang dimuat naik bersama video itu mendakwa lelaki berkenaan adalah tokan dadah di Chenderong Balai dan menjual dadah kepada budak bawah usia serta meminta orang ramai melaporkan perkara itu kepada pihak polis.