Foto Shah Rukh Khan tunai umarah dikawal ketat oleh ‘bodyguard’ tular

Foto Shah Rukh Khan tunai umarah dikawal ketat oleh ‘bodyguard’ tular
Beberapa foto bintang Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan yang kini berada di Tanah Suci Makkah kini tular di media sosial.
Menurut laporan media menerusi portal antaranya India Today, Shah Rukh Khan menunaikan umrah selepas selesai menjalani penggambaran filem terbaharu berjudul Dunki di Arab Saudi.
Secara kronologinya, pada 30 November, pelakon kacak itu berkongsi sepotong video merakam ucapan terima kasih kepada Kementerian Kebudayaan Arab Saudi atas layanan mesra mereka.
Manakala pada 2 Disember (hari ini) foto dan video Shah Rukh Khan yang juga dikenali sebagai SRK tular ketika menunaikan umrah.
Malah seorang wartawan dari Arab Saudi juga berkongsi foto SRK menerusi Twitter miliknya dengan id @saudrehman27 beserta kapsyen:
“Pelakon Bollywood Shah Rukh Khan @iamsrk menunaikan umrah di #Mekah hari ini. Semoga Allah S.WT menerima umrahnya, Ameen. #ShahRukhKhan @SRKUniverse,” tulisnya.

Dalam pada itu, peminatnya juga turut memuat naik video merakamkan SRK yang memakai pakaian lengkap untuk mengerjakan umrah dikelilingi oleh orang ramai.
Ruangan komen video berkenaan juga dibanjiri dengan ucapan positif dan doa daripada para peminatnya.
“MasyaAllah… Alhamdulillah syukur, ini adalah momen yang saya nantikan sejak dahulu lagi untuk melihat SRK mengerjakan umrah atau haji,” tulis seorang peminat.
“Ini pun sudah cukup menggembirakan saya, semoga Allah menerima segala ibadahnya,” komen seorang lagi.
“Alhamdulillah… MasyaAllah, semoga ibadah yang dilakukan diterima Allah, doakan yang baik-baik
untuknya,” doa seorang peminat.
Selain Shah Rukh Khan, Dunki juga dibintangi oleh Taapsee Pannu. Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada tahun 2023.
Dalam perkembangan lain, figura terkenal ini juga bakal muncul dengan dua filem baharu iaitu Pathaan yang akan ditayangkan pada 25 Januari 2023 dan Jawan pada 2 Jun 2023.
Poster dan trailer dua filem berkenaan juga sudah dikongsi sendiri oleh Shah Rukh Khan di akaun Instagram miliknya.