[VIDEO] Dua individu termasuk seorang ‘Datuk’ ditahan reman, ugut dan tampar pelanggan restoran

Dua individu termasuk seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang dipercayai terlibat dalam insiden ugut dan pukul seorang pelanggan di sebuah restoran di Tropicana Avenue, Persiaran Tropicana, di sini pada Selasa lalu ditahan reman selama dua hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan perintah reman ke atas kedua-dua suspek yang berusia 39 dan 42 tahun itu bermula hari ini sehingga 16 Januari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 kanun yang sama.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, kedua-dua suspek berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 3.40 petang di Mutiara Damansara, pada Khamis selepas sebuah rakaman video berdurasi 29 saat tular di media sosial.

Polis sebelum ini memaklumkan, berdasarkan siasatan kejadian itu dipercayai berpunca apabila suspek ditegur oleh seorang pelanggan yang duduk di meja bersebelahan kerana bercakap dengan nada yang tinggi.

Pemeriksaan polis juga mendapati suspek pertama iaitu lelaki bergelar Datuk itu mempunyai rekod lampau membabitkan ugutan jenayah dan mendatangkan bencana dua tahun lalu.

Berita penuh: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ugut-dan-tampar-pelanggan-restoran-datuk-ditahan-reman-dua-hari-277912?fbclid=IwAR12c_Z3G8DNUhEiYpe9GfrJ6C5vDJWcvfVAry3ucBwd4sR7LW3IJyv78ik