[Video] Budak berlumuran darah menagis di sisi mayat ibu dipercayai dibunuh
Polis Tawau mengesahkan video tular memaparkan seorang kanak-kanak menangis di sisi mayat seorang wanita dipercayai ibunya adalah kes bunuh dalam kejadian di Kampung Icebox, Tawau, petang tadi.
Bagaimanapun, punca kejadian belum dapat dipastikan setakat ini dan sepasukan polis masih menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Kita ada menerima laporan mengenai kes bunuh berkenaan petang tadi.
“Polis bertugas masih berada di lokasi kejadian bagi melakukan siasatan lanjut dan maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 24 saat itu memaparkan seorang kanak-kanak perempuan menangis sambil melihat mayat ibunya yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh.