[Video] 2 leleki bersenjata parang samun klinik pergigian diburu polis

[Video] 2 leleki bersenjata parang samun klinik pergigian diburu polis

SEBUAH klinik pergigian di Bandar Seri Putra, Bangi kecoh apabila premis itu didatangi dua lelaki bersenjatakan parang pada Isnin.

Dalam satu rakaman tular, seorang wanita dilihat sedang bergelut dengan dua perompak itu demi menyelamatkan barangan peribadinya.

Turut kelihatan dua lagi wanita, dipercayai kakitangan klinik memeluk mangsa selepas dia bergelut dengan penjenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata suspek dipercayai warga tempatan melarikan sebuah komputer riba jenis MacBook, dua telefon bimbit, seutas rantai emas serta wang tunai sekitar RM2,000.

“Bagaimanapun dalam kejadian ini kesemua mangsa yang berada di dalam premis tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

 

“Kejadian itu juga tular di media sosial yang menunjukkan kejadian itu berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Dia turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu agar memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan.

“Anda boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” ujarnya lagi.