“Ustaz, saya nak keluar Asnaf” pendapatan dijangka stabil, Asnaf mohon batal nama penerima zakat

“Ustaz, saya nak keluar Asnaf” pendapatan dijangka stabil, Asnaf mohon batal nama penerima zakat

 

Golongan asnaf di Malaysia tidak dinafikan masih ramai dan memerlukan bantuan dari pihak bertanggungjawab seperti pusat zakat dan sebagainya.

Namun, ia bukan satu titik noktah kepada golongan ini untuk terus bergantung kepada bantuan yang disalurkan oleh pihak-pihak berwajib.

Seperti kisah-kisah yang pernah tular sebelum ini, ramai dari mereka yang pada asalnya penerima bantuan dari pihak zakat berjaya memperbaiki kewangan diri atau keluarga dan bergerak keluar daripada senarai asnaf.

Malah, pernah juga viral surat-surat yang dikirim oleh asnaf-asnaf ini kepada pusat zakat yang meminta bantuan yang disalurkan kepada mereka dihentikan, sambil melahirkan penghargaan dan rasa syukur kerana dibantu sebelum ini.

Tujuan mereka berbuat demikian bukanlah kerana sombong, sebaliknya sudah berkemampuan dan mahu meneruskan hidup dengan hasil titik peluh sendiri. Malah, ia adalah satu tindakan yang sangat terpuji kerana sekurang-kurangnya bantuan berkenaan boleh disalurkan kepada asnaf-asnaf yang lain pula.

Begitulah perkongsian yang dibuat pihak Zakat Selangor berkenaan sepucuk surat yang diutuskan oleh seorang lagi asnaf kepada pihaknya.

Melalui surat itu, penghantar memohon untuk namanya dikeluarkan daripada senarai penerima bantuan zakat kerana sudah berkemampuan selepas situasi kewangan bertambah baik.

“Ustaz, saya nak keluar asnaf, Insha Allah, pendapatan saya dah semakin baik dan cukuplah zakat bantu saya sebelum ni, tentu ramai lagi yang memerlukan bantuan dari zakat. Terima kasih pembayar zakat,” tulisnya, lapor Zakat Selangor.

Kejujuran yang mengagumkan dan usaha yang boleh dijadikan contoh serta semangat kepada mereka yang masih ‘berjuang’ untuk teruskan kehidupan di luar sana. Semoga beliau terus maju jaya dan dipermudah setiap urusan di dunia.