Ustaz Kazim bakal berangkat ke negara Arab rawat penyakit kulit
Baru-baru ini tular mengenai keadaan penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias sehingga terpaksa mengenakan topi bagi menutup wajahnya atau mengenakan bedak asas ketika menyampaikan ceramahnya.
Malah, beliau turut memaklumkan malu untuk berjumpa dengan orang ramai pada waktu ini kerana takut mereka berasa geli dan jijik apabila melihat wajahnya.
Ustaz Kazim bakal berangkat ke negara Arab bulan depan
Terbaharu, menurut portal Sinar Harian, Ustaz Kazim dilaporkan bakal menjalani rawatan penyakit yang dihadapinya itu di negara Arab pada bulan hadapan.
Difahamkan, Ustaz Kazim bakal menjalani rawatan di negara berkenaan selama lima hari, namun ia bergantung kepada proses rawatan tersebut.
“Kalau dahulu bahagian kaki sahaja kini sudah satu badan hingga naik ke muka. Keluar rumah saya akan pakai lima lapisan bedak asas tebal untuk melindungi muka daripada cahaya matahari dan sebagainya.
“Kalau jumpa saya waktu siang, nampak elok kerana bedak. Saya masih dalam proses rawatan dan dalam masa terdekat akan ke luar negara di Arab. Setakat ini pergi lima hari namun bergantung kepada rawatan,”ujar Ustaz Kazim.
Hampir 800 tawaran diterima daripada pusat rawatan tradisional & individu nak bantu rawat penyakit
Dalam masa sama, Ustaz Kazim mendedahkan beliau telah menerima hampir 800 tawaran daripada pusat rawatan tradisional termasuk individu yang mahu membantu merawat penyakit yang dihadapinya itu.
Ustaz Kazim berkata, beliau turut mengamalkan makanan sunnah yang seiring dengan keadah perubatan moden.
“Saya terima tawaran dari India, Turki dan negara Arab. Saya pilih Arab. Ramai pakar perubatan bantu saya setakat ini dan nampak banyak perubahan. Bahagian kaki dan badan sudah cantik serta kering lukanya.
“Kalau ada yang mengatakan saya menolak perubatan moden itu tidak benar. Saya menerima rawatan jantung dan diabetes di hospital termasuk rawatan ketika ini. Saya cuma katakan jangan ketepikan rawatan sunah. Saya tidak pernah tinggal habbatus sauda, madu lebah dan lain-lain sebagai salah satu usaha rawatan,”jelasnya.
Terdahulu, portal melaporkan Ustaz Kazim terpaksa mengenai pakaian bertopi dan menutup hampir seluruh wajahnya atas nasihat pihak doktor supaya tidak mendedahkan secara terus anggota tubuhnya kepada cahaya matahari.
Tambahnya, keadaan yang dialami itu bukan sahaja menyebabkan luka di seluruh badan termasuk muka, bahkan rasa gelisah sehingga tidak boleh tidur seharian sejak beberapa bulan lalu.
Sumber: Sinar Harian (Noor Ainon Mohamed )