Upacara Pembukaan Olimpik Tokyo 2020 di hadapan stadium kosong, sambutan tetap meriah

Upacara Pembukaan Olimpik Tokyo 2020 di hadapan stadium kosong, sambutan tetap meriah

Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang terpaksa dijadualkan semula ekoran pandemik coronovirus sejak tahun lepas akhirnya telah dirasmikan dengan majlis pembukaan yang berlangsung pada Jumaat lepas, walaupun dengan tentangan dari banyak pihak.

Masih dilanda gelombang pandemik, Jepun yang menjadi tuan rumah terpaksa mengolah temasya sukan bersejarah itu untuk mematuhi piawaian keselamatan negara tersebut.

Walaupun diselubungi keterujaan, ramai yang turut meluahkan rasa kesal acara sukan berprestij itu perlu diraikan pada musim pandemik yang mana bukan sahaja meletakkan atlet dalam risiko jangkitan, malah orang ramai juga tidak berpeluang untuk menyaksikan majlis pembukaan sukan yang hanya berlangsung setiap 4 tahun itu secara langsung di stadium.

“Covid kacau habis…”

Walaupun kemeriahan sambutan Olimpik 2020 berbeza dari biasa, perkara itu tidak menghalang orang ramai untuk bersorak bagi negara masing-masing di media sosial.

Majlis pembukaan yang disaksikan seluruh warga dunia juga tidak kurang meriah dengan pelbagai tarikan serta persembahan istimewa, antaranya perarakan 203 pasukan ke dalam stadium dengan pakaian seragam negara masing-masing, penggunaan lagu tema permainan video popular, persembahan seni piktogram, persembahan dron, dan sesi menyalakan kawah obor Olimpik oleh atlet Jepun terkemuka, Naomi Osaka.

Selain pasukan Malaysia, perarakan oleh pasukan Palestin juga mendapat sokongan ramai memandangkan betapa teruk negara mereka dibedil Israel tahun ini.

Pita Taufatofua, atlet taekwondo dan juga pembawa bendera negara Tonga yang turut digelar sebagai ‘lelaki minyak’ membuat penampilan kali ketiga pada Olimpik kali ini, turut menjadi salah satu ‘tarikan’ ketika sesi perarakan.

“Majlis takkan sempurna tanpa Tonga…”

Majlis perarakan juga diiringi muzik tema dari francais-francais permainan video dan anime dari Jepun.

Segmen piktogram yang dipersembahkan oleh dua artis pantomim Jepun meniru logo sukan-sukan Olimpik juga membuat ramai terhibur.

Sementara itu persembahan 1,800 dron di luar stadium yang menyerupai glob berputar berjaya memukau dan mengkagumkan penonton.

Upacara pembukaan Olimpik Tokyo 2020 diakhiri dengan kawah obor Olimpik dinyalakan oleh Naomi Osaka, atlet tenis dari Jepun.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan semula mempertandingkan 46 jenis sukan yang akan dimainkan oleh kira-kira 11,000 atlet di 42 lokasi di seluruh Jepun. Secara keseluruhan, 206 Jawatankuasa Olimpik Nasional mewakili temasya tersebut. Setakat hari pertama, China telah mendahului dengan 3 emas.