Untuk 3 hari, Jerman tukar nama stesen kereta apinya kepada Kuala Schlumpur

Untuk 3 hari, Jerman tukar nama stesen kereta apinya kepada Kuala Schlumpur

Untuk Tiga Hari, Jerman Tukar Nama Stesen Kereta Apinya Kepada Kuala Schlumpur

Sebuah stesen kereta api di Hamburg, Jerman dilapor telah ditukarkan namanya kepada Kuala Schlumpur untuk tempoh tiga hari, lapor portal berita tempatan, NDR. Nama asal stesen berkenaan adalah Schlump.

Difahamkan, langkah berkenaan diambil oleh pengurusan syarikat kereta api berkenaan, Hamburger Verkehrsverbund (HVV) yang mahu menarik perhatian dunia terhadap isu pemanasan global.

Syarikat itu menukar nama beberapa stesen bas dan kereta api dibawah kendaliannya kepada nama-nama negara beriklim panas. Kuala Schlumpur dipercayai merujuk kepada Kuala Lumpur yang terletak di Malaysia.

Menurut syarikat itu lagi, Hamburg turut terkena tempias dengan situasi pemanasan global, peningkatan paras air laut, kemarau berpanjangan dan haba ekstrem yang melanda beberapa bahagian dunia ketika ini.

Justeru, bagi meningkat kesedaran dalam kalangan pengguna tempatan, mereka menamakan semula beberapa stesen bas dan kereta api kepada nama-nama kawasan di negara beriklim panas untuk peringatan bersama.

Kredit: Instagram

Terdapat beberapa stesen lain yang namanya turut diubah seperti Balearenfeld (Bahrenfeld), Seychellingen (Stellingen), Havannerbrook (Hammerbrook), Mallermöhe (Allermöhe), Saharalandstraße (Saarlandstraße) dan São Pauli (St. Pauli).

Selain itu, S Casablankenese (S- Bahn Blankenese), Trabrennbahn Balearenfeld (Trabrennbahn Bahrenfeld), U Mümmelmannbeach (Mümmelmannsberg) dan Schenefelder La Paz (Schenefelder Platz) turut terlibat dalam penukaran nama tersebut.

 

Sumber: NDR