Uncang teh didakwa pernah digunakan Ratu Elizabeth dijual RM53,976 di eBay
Berita kemangkatan Ratu Elizabeth II, pada usia 96 tahun baru-baru ini telah menarik perhatian semua pihak di seluruh dunia.
Ekoran berita itu, terdapat beberapa pihak yang dilihat mengambil kesempatan dengan menjual pelbagai barangan yang didakwa mempunyai kaitan dengan mendiang.
Inilah yang dilakukan oleh seorang pengguna apabila mengiklankan satu uncang teh, yang didakwa pernah digunakan oleh mendiang suatu ketika dahulu.
Menurutnya, uncang teh itu telah diseludup keluar dari Istana Windsor pada tahun 1998.
“Ia digunakan oleh Ratu Elizabeth II Regina Britannia dan diseludup keluar dari Istana Windsor oleh pembasmi serangga yang dipanggil untuk membantu Baginda mengatasi serangan lipas London pada tahun 1990-an,” dakwanya.
Uncang teh tersebut dijual pada harga $12,000 (RM53,976) pada platform e-dagang bersama kapsyen , “Ini adalah uncang teh yang mungkin anda lihat di CNN pada akhir 1998.”
Bukan itu sahaja, uncang teh terpakai itu turut disertakan dengan Sijil Ketulenan yang dikeluarkan oleh IECA (Institut Kecemerlangan dalam Sijil Ketulenan).
Sijil Ketulenan tersebut menyatakan “telah menentukan tanpa sebarang keraguan bahawa pernyataan berikut adalah benar: Ini adalah uncang teh.”
Selain itu, penjual dari Decatur, Georgia, Amerika Syarikat juga menyifatkan uncang teh itu sebagai “sesuatu yang istimewa.”
Selain itu, terdapat seorang penjual telah menyenaraikan patung lilin bersaiz sebenar Ratu dengan harga $15,900 (RM71,518) untuk dijual.
Dia mendakwa bahawa patung itu mempunyai rambut manusia sebenar, bola mata damar dan gigi damar – dibuat menggunakan templat venir gigi.