Umno bangga semua tuntutannya dipenuhi kerajaan PN

Umno menganggap penambahbaikan Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini adalah hasil gesaan wakil parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, bukan sahaja dua tuntutan utama parti itu, iaitu membabitkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dan lanjutan moratorium pinjaman dipenuhi, malah lima cadangan lain turut dipenuhi.

“Selain pengeluaran simpanan KWSP dan lanjutan moratorium yang merupakan dua gesaan utama, kita jangan lupa bahawa penambahan bantuan yang diumumkan oleh menteri kewangan tadi juga adalah hasil cadangan BN dan Ahli Parlimennya,” katanya

Antara lima penambahan Belanjawan 2021 yang diumumkan, termasuklah bantuan khas “one off” kepada semua petugas barisan hadapan Covid-19 sebanyak RM300, selain RM500 untuk petugas kesihatan, yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.

Shahril Hamdan.

Seterusnya bantuan program e-Belia dengan menaikkan jumlah kredit RM50 ke RM100 juga secara “one-off” ke dalam akaun e-wallet yang dibangkitkan Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Sementara itu bantuan kepada pesawah membabitkan cadangan peruntukan RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian juga adalah antara isu dibangkitkan Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim ketika membahaskan Belanjawan itu sebelum ini.

“Bantuan musim tengkujuh juga ditambah susulan setelah gesaan YB Baling, RM300 sebulan kepada pekebun kecil,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan moratarium bagi sewa premis perniagaan yang terjejas juga adalah hasil cadangan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

“Syabas BN dan terima kasih menteri kewangan kerana sedia mendengar dan melaksanakan perubahan setelah mengadakan libat urus bersama Ahli Parlimen,” katanya.

Sementara Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penambahbaikan yang diumumkan oleh Tengku Zafruk itu merupakan bukti bahawa suara rakyat didengari.

“Suara rakyat didengar. Segala syarat ketat ke atas pengeluaran Akaun 1 KWSP sebelum ini dimansuhkan dengan mengambil kira semua pencarum yang terjejas pendapatan, iaitu kira-kira 8 juta orang berbanding hanya 2 juta sebelum ini, selain kebenaran pengeluaran maksiumum RM10,000,” katanya.

Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan pencarum KWSP yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah sekatan mengeluarkan hingga RM10,000 daripada Akaun 1 mereka.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan moratorium pinjaman secara automatik bagi kumpulan B40, sementara kumpulan M40 dan lain-lain boleh membuat permohonan.

Ia antara dua syarat tuntutan utama BN sebelum ini bagi menyokong Belanjawan 2021.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dengan undian suara majoriti, setelah usul belah bahagian yang dibawa oleh Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) gagal mendapat sokongan yang diperlukan.

Sumber: Free Malaysia Today