Tun M pandu Proton S70 dalam spesifikasi lain dari biasa, tak terdapat di bilik pameran

Tun M pandu Proton S70 dalam spesifikasi lain dari biasa, tak terdapat di bilik pameran

 

Walaupun umurnya sudah mencapai 99 tahun, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih aktif memandu kereta.

Terbaharu, Tun M dilihat memandu sedan segmen-C Proton S70 menerusi foto yang dikongsi hantaran Facebook oleh pemilik akaun Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin.

Namun jika anda perhatikan dengan teliti, Proton S70 yang dipandu Tun Mahathir ini menampilkan spesifikasi yang tak boleh kita beli di bilik pameran Proton.

Berdasarkan tempat duduk yang dibalut dengan upholsteri leatherette, skrin infotaimen bersaiz lapan-inci dan juga paparan instrumen analog biasa, S70 tersebut adalah dari varian Premium.

Tetapi unit yang dipandu oleh Tun M ini turut dibekalkan dengan bumbung suria yang hanya ditawarkan untuk varian Flagship X. Rare kan? Namun mungkin saja ia merupakan aksesori yang ditambah selepas kereta ini keluar dari kilang.

Tidak mustahil spesifikasi istimewa Proton S70 ini dihasilkan khas oleh Proton untuk Tun Mahathir. Tidak hairan untuk Tun M mendapat layanan istimewa Proton kerana beliau merupakan pengasas jenama automotif nasional tersebut.

Malah ketika bersara dari jawatan Perdana Menteri pada 2003, Tun masih lagi merupakan pengerusi Proton sehingga beliau meletak jawatan pada 2016.

Pemilihan spesifikasi ini juga mungkin membayangkan Tun memang benar-benar suka memandu dan memilih S70 yang bukan sahaja tampil dengan paparan meter analog, malah tidak ada sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang mungkin boleh ‘mengacau’ pemanduan sebenar.

Proton S70 dilancarkan ke pasaran tempatan pada penghujung November 2023, dan ia merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.