Tular kempen kibar bendera hitam, PDRM buka kertas siasatan
Jika sebelum ini rakyat dihangatkan dengan kempen kibaran bendera putih bagi meminta bantuan keperluan serta kempen bendera merah bagi meminta bantuan untuk haiwan peliharaan, kini tular pula sebuah kempen kibar bendera hitam untuk menandakan rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan.
Bukan itu sahaja, masyarakat juga turut diminta untuk mengambil gambar dan memuat naiknya secara serentak pada pukul 3 petang hari ini di media sosial masing-masing dengan menggunakan tanda pagar #Lawan bagi menyokong kempen tersebut.
Menurut laporan Kosmo, akibat daripada tularnya kempen tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka siasatan berhubung kempen kibar bendera hitam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, satu kertas siasatan berhubung perkara itu telah dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
katanya, pihak polis sedang mengesan pihak yang terlibat dalam menjayakan kempen ini untuk memberikan keterangan.
Setakat ini kami belum memanggil mana-mana individu untuk dirakamkan keterangan memandangkan ia masih baru dan pihak polis sedang mengesan mereka yang terlibat dengan kempen ini.
Kredit: Kosmo!