Treler bawa kereta honda bahru terbakar di lebuh raya

Treler bawa kereta honda bahru terbakar di lebuh raya

Empat buah kenderaan baharu jenis Honda musnah dalam kebakaran sebuah treler yang membawa muatan kenderaan berkenaan di Kilometer 227.2 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), dekat Pedas, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd. Izwan Md Said berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Kota dan Alor Gajah (Melaka) digerakkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 5.20 petang.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba, didapati kebakaran melibatkan bahagian belakang sebuah lori bersendi membawa kereta baharu dan turut terbakar empat buah kereta.

“Secara keseluruhannya terdapat enam buah kereta di atas kenderaan berkenaan. Empat daripadanya musnah 100 peratus, sebuah terbakar 50 peratus dan sebuah lagi tidak terbakar. Sehingga pukul 6.25 petang ini, operasi masih berjalan. Punca dan jumlah kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial video berdurasi 24 saat membabitkan kejadian berkenaan.