Tragis, pengantin perempuan meninggal di majlis kahwin, adik jadi ‘pengantin segera’ ganti kakak

Tragis, pengantin perempuan meninggal di majlis kahwin, adik jadi ‘pengantin segera’ ganti kakak

Sebuah majlis perkahwinan di Etawah, Uttar Pradesh di India bertukar menjadi kecoh apabila pengantin yang bakal naik ke pelamin ‘bertukar orang’ dalam sekelip mata.

Al-kisahnya, pengantin perempuan, Surbhi pada asalnya bakal melangsungkan perkahwinan dan bergelar isteri kepada suami pilihan hati, Manjesh Kumar.

Bagaimanapun sesuatu yang tidak dijangka berlaku apabila Surbhi tiba-tiba rebah ketika majlis sedang berlangsung akibat terkena serangan jantung. Keadaan jadi kacau bilau, pihak keluarga segera menghubungi doktor untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Namun ‘masanya’ sudah tiba, Surbhi gagal diselamatkan dan akhirnya dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemergian mendiang Surbhi dalam sekelip mata sangat memilukan hati ramai pihak, lebih-lebih lagi ahli keluarganya sendiri.

Sumber: Daily Mail

Tukar pelan B, ganti adik sebagai pengantin

Disebabkan majlis sudah berlangsung dan pengantin lelaki pun sudah ‘tersedia’, pihak keluarga Surbhi berasakan bahawa perkahwinan itu tetap perlu diteruskan… walaupun pengantinnya telah tiada.

Difahamkan ketika situasi genting ini, kedua-dua pihak menghadapi konflik yang kritikal. Pihak pengantin perempuan tetap mengharapkan mahar, manakala pihak lelaki pula tidak sanggup menanggung malu apabila pulang dengan ‘tangan kosong’ (tidak jadi berkahwin).

Lantas ahli keluarga membuat keputusan ‘segera’ dan menukar situasi kepada pelan B. Akhirnya mereka memutuskan untuk menggantikan adik Surbhi, iaitu Nisha (dalam bulatan) sebagai pengantin pada hari itu.

Sumber: Daily Mail

Oleh kerana keadaan sangat ‘kelam-kabut’, mereka terpaksa menyimpan dahulu mayat mendiang Surbhi di sebuah bilik kosong di dalam rumah itu semata-mata untuk meneruskan majlis.

Tanpa dirancang, akhirnya zaman bujang Nisha telah pun tamat dan secara rasminya dia dikahwinkan dengan Manjesh Kumar dalam sekelip mata bagi menggantikan kakaknya.

Emosi bercampur, bahagia sambil derita

Ahli keluarga mendiang Surbhi mengakui bahawa mereka sungguh terkejut dengan apa yang terjadi. Terasa macam tidak tahu untuk buat apa-apa. Hinggalah keadaan itu memaksa mereka untuk mengubah perancangan asal.

Jelas bapa saudara Surbhi, Ajab Singh, emosi mereka bercampur kerana kedua-dua peristiwa itu ada sisi pandangnya tersendiri.

“Seorang anak perempuan terbaring menjadi mayat di satu bilik, seorang anak perempuan lagi berkahwin dalam satu bilik yang lain. Kami tidak pernah merasai emosi bercampur seperti ini, kesedihan atas kematiannya dan bahagia atas perkahwinannya.. belum ada.” katanya.

Sumber: Daily Mail / The Sun