Tolak pesanan, wang tidak masuk punca ride foodpanda digantung

Tolak pesanan, wang tidak masuk punca ride foodpanda digantung

PETALING JAYA – Foodpanda akan menyemak syarat penggantungan untuk memastikan semua penghantar mempunyai persamaan dan peluang yang adil untuk terus memperoleh pendapatan harian.

Pengarah Operasi foodpanda, Kelvin Chan berkata, bagaimanapun pihaknya mengambil berat terhadap aktiviti penipuan dan penyamaran dilakukan rider.

“Apabila penghantar mempunyai masalah pematuhan, kapten akan menghubungi mereka untuk menyiasat sebelum amaran dikeluarkan. Penghantar yang menerima amaran sebanyak tiga kali boleh digantung tiga hingga lima hari atau lebih bergantung kepada situasi.

“Antara kes penunggang yang mungkin digantung adalah di­sebabkan wang tidak dimasukkan untuk pesanan Cash On Delivery, menolak lebih daripada 20 peratus pesanan yang diterima selain peningkatan aduan pe­langgan dan penipuan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kelvin berkata, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada sistem pemarkahan kumpulan penghantar ialah kadar penerimaan.

“Memandangkan kami adalah perniagaan pengguna, kepuasan pelanggan adalah penting. Bila pelanggan berpuas hati, mereka akan terus memesan dari platform dan lebih banyak pesanan diterima membolehkan mereka (rider) memperoleh lebih banyak bayaran,” jelasnya.

Menjelaskan mengenai rungutan sistem pembayaran baharu, Kelvin berkata, foodpanda ingin mengekalkan sistem ganjaran yang adil untuk semua rakan kongsi penghantarannya.

“Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kadar pembayaran. Ini termasuk tetapi tidak terhad kepada jarak, masa dalam sehari, kelompok dan permintaan pelanggan dalam sesuatu lokasi tertentu.

“Lebih daripada 60 peratus daripada armada kami mempunyai kadar penerimaan 100 peratus di seluruh negara.

“Mereka juga diberi kelonggaran untuk memilih armada dan syif yang dimohon. Syif yang tersedia adalah 2 hingga 4 jam setiap syif dan penghantar boleh membuat padanan pemilihan yang fleksibel,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun foodpanda akan terus mengekalkan fleksibiliti dalam pemilihan, penghantar digalakkan merancang giliran dengan sewajarnya untuk memastikan mereka mempunyai waktu rehat.

Kosmo! semalam melaporkan, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menghantar memo­randum bantahan kepada sebuah syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing kerana tertekan selepas ahlinya digantung kerja tanpa alasan kukuh.

Difahamkan, kira-kira 100 penghantar makanan sebuah syarikat digantung 10 hari di seluruh Malaysia sehingga menjejaskan pendapatan mereka.