Tindakan budak ni tolong susun selipar jemaah masjid raih pujian ramai
Bulan Ramadan merupakan bulan kesabaran, penuh keberkatan dan setiap ibadah mahupun amal yang dilakukan akan mendapat pahala dan ganjaran syurga. Oleh itu, setiap umat Islam akan melipatgandakan amalan dan ibadah mereka melebihi daripada kebiasaan yang dilakukan pada hari biasa.
Antara amalan yang akan dilakukan pada bulan ini ialah solat tarawih baik 8 rakaat mahupun 20 rakaat. Walaupun situasi pandemik kini membataskan solat tarawih dilakukan seperti kebiasaan, namun ibadah ini boleh dilakukan mengikut penjarakan yang ditetapkan.
Solat tarawih biasanya akan dihadiri oleh orang dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Biasanya ibu bapa yang ke masjid akan membawa kanak-kanak bagi melatih mereka sama-sama mengikuti solat berjemaah. Namun, tidak semestinya solat berjemaah sahaja yang boleh dilakukan untuk mengutip pahala, tetapi banyak lagi perbuatan yang walaupun kecil, tinggi nilai di sisi-Nya.
Contohnya seperti apa yang dilakukan oleh seorang kanak-kanak lelaki yang menyusun selipar para jemaah di masjid. Berdasarkan video yang dikongsikan oleh @JAWIWP, kanak-kanak ini menyusun kesemua selipar tersebut secara berjarak seperti SOP bagi memudahkan jemaah memakainya ketika ingin pulang.