Timbalan Speaker cadang bentang RUU antilompat parti

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said mengemukakan tiga langkah untuk memastikan Malaysia tidak mengalami lebih banyak ketidakstabilan dan pergolakan politik.

Menurutnya, undang-undang seperti Akta Parlimen Penggal Tetap (FTPA) 2011 di United Kingdom mampu menstabilkan krisis politik tanah air menjelang pengundian untuk menerima atau menolak Belanjawan 2021, Khamis ini.

“Saya telah mengemukakan pertanyaan bagaimana ahli parlimen bakal akan mengundi RUU Perbekalan 2021 dan sayangnya, ada lebih banyak soalan daripada jawapan,” katanya.

“Jika anggota parlimen kita bersatu dan mematuhi titah Agong, yang mengingatkan ahli politik supaya berhenti berpolitik, maka dengan rendah hati saya akan mengemukakan tiga langkah yang mungkin dan cadangan mendesak kepada kerajaan untuk memastikan Malaysia tidak mengalami lebih banyak ketidakstabilan dan pergolakan politik.”

Azalina mencadangkan:

  • Bentang RUU Antilompat Parti
  • Bentang akta bagi mensyaratkan semua parti politik membentuk kerajaan dan persetujuan bertulis untuk menyokong agenda dan dasar bersama.
  • Memperkenalkan RUU seperti FTPA.

FTPA diperkenalkan di UK pada tahun 2011, yang membolehkan PRU diadakan pada satu tarikh tetap berbanding dalam tempoh lima tahun seperti di Malaysia.

Sementara itu, Azalina yang juga ahli parlimen Pengerang berpendapat mengembalikan mandat rakyat merupakan cara terbaik meredakan keadaan politik semasa.

 

 

“Dengan begitu banyak ketidakpastian politik pada masa ini, dan dengan usul undi percaya (serta tidak percaya) terhadap Muhyiddin mustahil dibawa ke Dewan Rakyat, mungkin satu-satunya cara kita dapat kembali ke keadaan normal politik adalah dengan mempertimbangkan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dengan meminta pembubaran parlimen untuk membuka jalan untuk pilihan raya umum.

“Dalam hal ini, saya bersetuju seruan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar semua parti politik mengetepikan perbezaan mereka demi rakyat dan terus bersatu dalam amanat yang dikembalikan kepada rakyat kerana mandat rakyat itu suci,” katanya.

Katanya, apabila keseimbangan politik pulih, barulah ahli politik menumpukan perhatian pada tugas mereka dan memerintah penuh tanggungjawab.

Mengambil contoh di Singapura, katanya, jumlah jangkitan telah turut ke satu dan dua angkat berbanding tiga dan empat angkat sebelum pilihan raya 10 Julai lalu.

Sumber: Malaysiakini