Tiga lelaki warga asing ditahan kes penemuan mayat perut terburai

Tiga lelaki warga asing ditahan kes penemuan mayat perut terburai

 

Tiga lelaki warga Indonesia ditahan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga asing yang mati dibunuh di Jalan Sepang-Salak, pagi semalam.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 24 hingga 50 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Padang Jawa, Shah Alam pada pukul 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya merampas tiga buah telefon pintar daripada tiga suspek tersebut.

Ketika soal siasat dilakukan, kesemua suspek tidak mengaku terlibat dalam kes bunuh berkenaan.

“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia bemotifkan dendam dan cemburu kerana mangsa menjalin hubungan dengan seorang wanita tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa disahkan warga Bangladesh berusia 25 tahun selepas proses pengecaman mayat dilakukan oleh sepupu dan teman wanita mangsa.

Ujar Wan Kamarul Azran lagi, pihak polis sedang memburu seorang lagi suspek yang merupakan bekas suami kepada teman wanita mangsa bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan tentang penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan mengerikan dengan luka pada perut, usus terkeluar dan tangan diikat dengan kabel di sebuah ladang kelapa sawit.