Tidak sengaja tertelan sebuah gelas semasa menikmati minuman teh
Bak kata orang, sayangi makanan anda! Pastikan makanan dan minuman yang dinikmati dihabiskan tanpa ada sisa supaya tidak berlaku pembaziran. Namun, berbeza pula dengan seorang lelaki di India, dengan gelas sekali ditelannya!
Macam mana boleh muat?
Sekumpulan doktor bingung selepas menemukan sebuah gelas di dalam perut seorang lelaki. Selepas ditanya, lelaki tersebut mengaku tidak sengaja tertelan sebuah gelas semasa menikmati minuman teh. Akibatnya, lelaki itu terpaksa menerima rawatan di hospital swasta di Madipur, Bihar, India.
Menurut laporan Metro UK, lelaki itu asalnya dimasukkan ke hospital akibat sembelit dan rasa sakit yang teruk di bahagian perut. Semasa menjalani ujian ultrabunyi dan sinar-X, doktor mendapati berlaku ‘gangguan serius’ dalam usus dan mendapati ianya sebuah gelas kaca.
Gelas tersebut berjaya dibawa keluar melalui pembedahan, namun sebelum itu, pakar bedah cuba untuk mengeluarkan objek tersebut dari bahagian rektumnya menerusi prosedur endoskopik, tetapi gagal.
Lelaki berusia 55 tahun itu dengan malunya mengaku dia tertelan gelas tersebut ketika sedang menikmati teh, namun pakar tidak pasti bagaimana gelas sebesar itu mampu melalui saluran makanan yang terlalu sempit untuk objek tersebut. Dr. Mahmudul Hasan yang mengetuai pembedahan tersebut masih tertanya-tanya bagaimana gelas tersebut boleh memasuki badan mangsa.
Pesakit itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan berjaya mengeluarkan gelas tersebut dari perutnya.