Tidak ada tukang masak Mee Abu Bedong meninggal akibat Covid-19

Tidak ada tukang masak Mee Abu Bedong meninggal akibat Covid-19

MESEJ tular kononnya tukang masak Mee Abu Bedong meninggal dunia akibat Covid-19. FOTO tula

 

Sungai Petani: “Saya terkejut bila dapat mesej yang tular di laman sosial mendakwa tukang masak di kedai saya meninggal dunia akibat Covid-19 sedangkan kami semua dalam keadaan sihat.

“Akibat penularan mesej itu, perniagaan kami sekeluarga terjejas sejak semalam malah hari ini tiada pelanggan yang datang kerana bimbang dengan berita palsu itu,” kata pemilik kedai Mee Abu Bedong, Tajun Nisah Mustapa, 53.

Semalam, satu mesej ditular di Facebook kononnya seorang tukang masak di Mee Abu Bedong, di sini, meninggal dunia semalam akibat Covid-19.

Mesej itu mendakwa tukang masak kedai dan isterinya menjalani ujian calitan di Hospital Sungai Petani dan dijangkiti Covid-19 dari hospital.

Tajun Nisah berkata, sebelum ini dia mempunyai tiga pekerja termasuk tukang masak tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hanya membenarkan makanan dibungkus, mereka direhatkan dulu sementara waktu.

“Saya dan menantu masak sendiri di rumah dan di kedai pula anak lelaki saya yang menggoreng makanan.

“Saya terkejut bila dapat mesej kata tukang masak meninggal dunia semalam, sekali gus menyebabkan orang tak berani datang ke kedai kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tajun Nisah berkata, dia sudah menghubungi nombor telefon yang tertera pada mesej yang ditular berkenaan namun individu itu tidak mengaku dia yang melakukannya.

Berikutan itu, suaminya membuat laporan polis petang semalam untuk menafikan dakwaan seperti yang tersebar melalui mesej berkenaan.

“Kami semua sihat, tak ada pun dimasukkan ke hospital atau meninggal dan saya berharap orang ramai jangan percaya berita palsu seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penularan berita palsu itu pada jam 4.57 petang semalam.

Beliau berkata, kes akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).