Tiada pihak tampil tuntut harta Najib dan Rosmah yang dirampas
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu tidak ada pihak ketiga yang tampil untuk menuntut aset yang dirampas daripada Najib Razak, individu lain dan syarikat selepas 9 Mei 2018.
Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin memberitahu perkara itu kepada wartawan selepas sebutan kes itu hari ini.
“Sehingga pukul 11 pagi, tidak ada pihak berkepentingan yang hadir di mahkamah ini untuk mengemukakan tuntutan mereka terhadap barang-barang yang dirampas,” katanya.
Faten berkata, warta persekutuan yang dikeluarkan pada 26 Okt mengundang pihak ketiga yang berminat untuk mengemukakan tuntutan mereka.
Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, akan mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak barang yang disita pada 26 Mac 2021.
“Mahkamah mengarahkan kami untuk mengemukakan penghujahan sebelum 15 Jan 2021 dan memberi masa sehingga 8 Feb kepada responden untuk mengemukakan hujahan balas kepada kami,” kata Faten.
Kerajaan mahu melucut hak beratus-ratus barang yang disita daripada bekas perdana menteri itu, 15 individu dan syarikat pada tahun 2018.
Barang yang disita termasuk beg tangan mewah, wang tunai pelbagai negara, jam tangan, kasut dan 27 kenderaan.
Antara individu yang disebut dalam permohonan pelucutanhak itu adalah isterinya Rosmah Mansor, anaknya Riza Aziz, anak-anak Najib (Nor Ashman dan Nooryana Na jwa), bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dan ibu bapa pemodal Low Taek Jho, Goh Gaik Ewe.
Barang yang dirampas itu juga merangkumi sejumlah RM18 juta dalam pelbagai akaun bank, dan sebuah banglo milik keluarga Low di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.