Tiada DNA babi dalam gegelang sotong

Tiada DNA babi dalam gegelang sotong

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tiada identifikasi porsin (DNA babi) dikesan pada sampel gegelang sotong sejuk beku seperti ditularkan di media sosial.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berkata, kementeriannya melalui makmal Jabatan Kimia Malaysia sudah menjalankan identifikasi analisis porsin ke atas sampel gegelang sotong itu.

“Keputusan yang diterima mengesahkan tiada DNA babi dikesan di dalam sampel terbabit.

“Sehubungan itu, KPDNHEP menasihatkan pengguna supaya berhati-hati ketika menyebarkan maklumat di media sosial termasuk isu berkaitan halal kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai ,” katanya dalam kenyataan di sini.

Alexander berkata, siasatan dilakukan kementerian susulan tular di media sosial seorang pengguna mendakwa gegelang sotong mengandungi rektum babi ditemui di sebuah premis di Perlis.

“Bertindak atas aduan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas beberapa premis di peringkat peruncit, pemborong, pengedar dan pengimport produk terbabit di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bharu.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan, KPDNHEP menyita kesemua produk terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat dinasihatkan supaya membuat aduan mengikut saluran yang betul berserta maklumat lengkap kepada pihak bertanggungjawab termasuk KPDNHEP melalui saluran aduan seperti WhatsApp 019-279 4317,portal aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my,call centre 1-800-886-800,emel [email protected],Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-8882 6088/6245.