The Pocket Rocketman cerita tentang ‘brokeng English’

Pernah digelakkan kerana menggunakan ‘broken English’, jaguh trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang menasihatkan agar semua orang tidak memperlekehkan dan merendahkan individu yang mempunyai kekurangan tersebut.

Pelumba pecut No. 1 dunia itu berkata, dia tidak berhasrat mempertahankan mereka yang membuat kesilapan, sebaliknya menasihatkan supaya mencari ruang untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan tidak mudah putus asa.

Tambahnya, di samping itu juga dia berharap mereka yang fasih berbahasa Inggeris agar saling membantu memperbetulkannya dalam usaha masyarakat Malaysia melangkah maju.

Mengimbas kembali insiden digelakkan secara ‘berjemaah’ pada 2017, Azizulhasni atau terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman berkata, ia bermula semasa dia dan rakan sepasukan menghadiri parti barbeku bersama komuniti Melayu selepas baharu menetap di Melbourne.

STATUS Azizulhasni Awang dalam media sosial.

“Jadi saya ini macam biasalah, suka sertai perbualan walaupun tak kenal atau baru-baru kenal dengan orang. Ini adalah kerana saya ingin tingkatkan kemahiran komunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris saya yang ketika itu berada pada tahap biasa-biasa sahaja.

“Entah macam mana perbualan kami berkenaan dengan Chromosome, DNA dan RNA semua inilah. Dalam kepala saya teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia.

“Kite sebut Gen2 adalah ‘Jen Tu’ kan. Jadi saya dengan yakinnya menyebut ‘Jen’ untuk merujuk kepada ‘Gene’ dan sebutan saya itu salah. Sebutan yang betul adalah ‘Jin’.

“Terus saya digelakkan oleh dua pelajar yang berbangsa Melayu. Yang si perempuan pula gelakkan sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahi nya. Dan yang lelaki pula acah-acah tersembur air dari mulutnya yang ketika itu tengah minum air sirap merah,” tulis Azizulhasni di Facebook, hari ini.

Tambahnya, kedua-kedua lelaki tersebut langsung tidak memberitahu akan kesilapannya itu, namun Azizulhasni mengetahui selepas dia menceritakan kisah itu kepada rakan mereka.

“Saya langsung tidak sakit hati dan marah, kerana saya tahu tahap saya dan saya masih lagi dalam proses untuk belajar. Itulah sikap orang melayu kita kawan-kawan yang dikasihi sekalian.

“Itu sekitar tahun 2007, kita dah masuk era baru tahun 2021 pun, masih ramai dari kalangan kita yang mempunyai perangai menggelabah seperti itu,” jelasnya. – UM