Tersentuh hati tengok ‘pak guard penyayang’ bawa anak ke tempat kerja, ves dijadikan alas dan selimut

Tersentuh hati tengok ‘pak guard penyayang’ bawa anak ke tempat kerja, ves dijadikan alas dan selimut

 

 

 

Video tersebut yang dirakam di pos pengawal kemudian dimuat naik di aplikasi TikTok yang sehingga kini meraih lebih daripada 760,000 jumlah tontonan.

“Respect sangat melihat keadaan ini. Biarpun tidak tahu cerita di sebaliknya, namun terlihat sebuah tanggungjawab,” demikian kapsyen yang ditulis pada perkongsian tersebut.

Menerusi video itu juga, kelihatan pengawal keselamatan tersebut menghamparkan ves hijau miliknya di atas meja untuk dijadikan kain alas tempat tidur anak kecilnya itu, sebelum kanak-kanak tersebut diselimut dengan ves yang sama.

Apa yang membuatkan netizen tersentuh, anak kecil tersebut seolah-olah memahami situasi lalu terus memejamkan matanya untuk tidur dan memudahkan bapanya menyambung tugasan.

Difahamkan insiden itu berlaku di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya.

Bagaimanapun tiada butiran lanjut dikongsikan pemilik akaun mengenai pengawal keselamatan tersebut.

Perkongsian tersebut nyata menyentuh naluri netizen yang mengakui menitiskan air mata melihat ketulusan kasih seorang bapa terhadap anaknya.

“Kasih sayang dan tanggungjawab seorang ayah kepada anaknya. Dalam masa yang sama mencari rezeki untuk keluarga.

“Apabila seorang ayah juga seorang ibu… sungguh besar pengorbananmu ayah. Semoga kelak apabila anakmu sudah besar bisa membalas semua ini.

“Ayah yang baik akan hasilkan didikan yang baik. Tak perlu kaya dan mewah,” demikian antara komen netizen.

Dalam pada itu ramai turut tertanya-tanya mengenai status si bapa sama ada dia merupakan seorang bapa tunggal atau sebaliknya kerana membawa anak ke tempat kerja.

Segelintir warga maya juga menawarkan bantuan untuk menjaga anak kecil tersebut secara percuma sementara pengawal keselamatan tersebut keluar bekerja.

“Bagilah saya jaga anak abang… abang pergi kerja, tak payah bayar pun. Boleh buat kawan dengan puteri saya. Balik kerja nanti ambil saja,” komen salah seorang netizen.

Sumber : MStar