Terima cabaran ditanam hidup-hidup dalam keranda
Bunyinya sangat menakutkan dan mencabar tetapi YouTuber ini memilih untuk ditanam hidup-hidup di dalam keranda semata-mata untuk content videonya. Ianya mungkin berbaloi kini apabila video tersebut meraih 59 juta tontonan setakat ini di mana rata-ratanya memuji keberanian YouTuber ini.
YouTuber popular, MrBeast yang mempunyai jumlah pengikut seramai lebih 58 juta memang selalu melakukan cabaran-cabaran gila dan mencabar. Kali ini, dia meminta rakan-rakannya menanamnya hidup-hidup di dalam keranda dan dia perlu bertahan selama 50 jam! Video tersebut viral dikongsikan sehingga kini dan dikatakan jumlah tontonan semakin meningkat setiap hari.
Di dalam video itu, lelaki itu dapat dilihat terbaring di dalam keranda dan menggunakan walkie talkie untuk berkomunikasi dengan rakan-rakannya di luar. Oleh kerana ruang yang agak terbatas di dalam keranda, lelaki itu hanya mampu terbaring sahaja sehingga pada satu ketika dia dilihat menangis kerana pergerakannya yang terbatas.
“Ini adalah perkara paling gila yang pernah saya lakukan.”
Di dalam keranda itu, YouTuber itu turut dilihat mempunyai selimut, beberapa makanan dan bantal serta barang keperluan lain. MrBeast merupakan individu yang sangat popular di Youtube kerana cabaran video luar biasa yang selalu dihasilkan. Menurut laporan sebelum ini, setiap video yang dikongsinya selama ini pasti akan menerima lebih 20 juta tontonan.
Sepanjang melakukan cabaran ini, pasukan perubatan berada di lokasi untuk sebarang kejadian kecemasan sekiranya apa-apa berlaku pada YouTuber itu. Malah mereka turut memantau pergerakan lelaki di dalam keranda itu setiap masa memandangkan ianya sangat bahaya untuk ditinggalkan dalam masa yang lama. Selepas berjaya menghabiskan 50 jam di dalam keranda, lelaki itu dilihat menangis sementara menunggu dirinya dikeluarkan.