Terengganu catat jumlah mangsa banjir tertinggi

Terengganu catat jumlah mangsa banjir tertinggi

Kuala Terengganu: Kemaman terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi apabila seramai 1,244 orang daripada 340 keluarga dipindahkan ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS), pagi ini.

Ia menjadikan jumlah terkini mangsa banjir di Terengganu adalah seramai 2,563 orang daripada 772 keluarga di 51 PPS di lima daerah, setakat jam 8 pagi ini.

Malam tadi, seramai 1,533 mangsa daripada 432 keluarga ditempatkan di 30 PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kemaman semalam hanya merekodkan seramai 847 mangsa daripada 242 keluarga ditempatkan 15 PPS.

PPS di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Teladas masih mencatatkan jumlah perpindahan tertinggi iaitu seramai 259 mangsa daripada 76 keluarga berada di PPS berkenaan.

Mangsa banjir di Hulu Terengganu turut meningkat kepada 652 mangsa daripada 197 keluarga di 11 PPS berbanding hanya lima PPS bagi menempatkan 97 keluarga membabitkan 387 mangsa.

Turut menunjukkan peningkatan daerah Besut yang kini mencatatkan jumlah mangsa seramai 414 orang daripada 94 keluarga di 11 PPS.

Mangsa banjir di Setiu turut meningkat kepada 234 mangsa daripada 80 keluarga di tujuh PPS.

Di Dungun, dua lagi PPS iaitu Surau Kuala Jengal dan DOR Kampung Minda turut diaktifkan malam tadi.

Ia menjadikan empat PPS dibuka di daerah berkenaan termasuk DOR Kampung Pasir Raja dan DOR Kampung Shukor bagi menempatkan 24 keluarga yang terdiri daripada 69 mangsa.

Keadaan cuaca semasa ketika ini hujan lebat berterusan di kebanyakan tempat.