Tengah syok menari, siap ada minuman keras, Ketua Balai & 3 anggota ditahan buat parti liar
Seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggota polis dan empat wanita orang awam telah ditahan apabila mereka didakwa ‘berhibur’ di dalam sebuah bilik khas di balai polis di Kajang. Memetik laporan BH Online, Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menerima laporan daripada orang awam mengenai ‘pesta liar’ yang telah diadakan di balai polis tersebut pada jam 6.00 petang, semalam.
Berkaraoke di balai
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman iaitu Datuk Azri Ahmad menjalankan siasatan terhadap lapan individu terlibat termasuk ketua balai, tiga anggota dan empat wanita orang awam terlibat.
Ketika serbuan dibuat oleh pasukan JIPS, mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras dan air ketum. Malah, bilik gelap tersebut juga dipasang lampu ‘berputar’ bagaikan berada di dalam kelab malam.
Tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai berkenaan dengan berkaraoke adalah menyalahi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Tangkapan dijalankan oleh pegawai dan anggota JIPS Bukit Aman selepas mendapati tindakan itu jelas melanggar SOP. Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika mereka didapati melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan.
Susulan itu, pihak berkuasa telah merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan satu unit TV. Bukan itu sahaja, turut dirampas termasuk lima botol air ketum dan gambar lucah salah seorang anggota yang ditahan.
Sumber: BH Online