Temui nota lepas bapa meninggal, sebak lepas tengok catatan ayah cuba faham mengenai pelajarannya

Temui nota lepas bapa meninggal, sebak lepas tengok catatan ayah cuba faham mengenai pelajarannya

Sering menunjukkan perwatakan yang tegas dan garang, sikap sesetengah golongan bapa sememangnya sangat sukar untuk difahami oleh anak-anak.

Disebabkan itu juga, anak-anak kebiasaannya akan mula merasa janggal dan tidak meluahkan perasaan kepada bapa mereka.

Pun begitu, setiap orang perlu tahu bahawa bapa menterjemahkan kasih sayang kepada anak-anak dengan cara yang berbeza. Ya, kita tidak akan pernah faham apa yang bermain di fikiran mereka tetapi percayalah, jauh di lubuk hati mereka, tersimpan kasih sayang yang tidak pernah padam.

Mungkin anak-anak lebih selesa untuk berkongsi cerita dengan ibu mereka tetapi dalam diam bapa juga sebenarnya sedang memerhati dan mungkin ‘mencatat’ segala perkembangan dan kejayaan anak-anak.

Sama seperti perkongsian pengguna Twitter, Melissa Miller yang mengatakan telah menemui satu buku nota yang dimiliki oleh bapanya.

 

Menurutnya, dia terkejut menemui buku itu kerana ia mengandungi maklumat mengenai pelajarannya yang ditulis oleh bapanya walaupun selama ini bapanya itu tidak faham sepenuhnya apa yang telah dilakukan olehnya.

Ujar Melissa, buku itu ditemui selepas beberapa hari bapanya meninggal dunia.

Dia terharu kerana tidak menyangka bahawa bapanya selama ini selalu peduli dan cuba untuk memahami ‘perjalanannya’ untuk mendapatkan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Psikologi Klinikal.

Sehingga kini, ciapannya itu telah mendapat sebanyak 43.8 ribu ulang kicau dan 783 ribu tanda suka.

Bukan sahaja Melissa, ramai netizen yang turut berkongsi mengenai bapa mereka di ruang komen ciapan itu.

Sumber: Melissa Miller